20 perkara yang anda patut tahu untuk menguruskan kewangan peribadi.

Teknik menyimpan duit yang mudah

Semua orang berhak menjadi kaya! Belajar menguruskan duit yang kita miliki adalah perkara paling asas ke arah kekayaan kewangan. Nada boleh menang loteri, menang sejuta ringgit, atau tiba-tiba menjadi jutawan. Tanpa pengurusan kewangan peribadi yang berkesan, semuanya akan hilang dalam masa yang singkat.

Semua orang berhak untuk menjadi kaya! Click To Tweet

Macam mana nak buat duit lebih? Soalan yang bagus dan boleh memperbaiki aspek kewangan dalam kehidupan kita hanya sekiranya kita tahu bagaimana untuk menguruskan wang itu. Mari lihat 20 perkara asas dalam pengurusan kewangan peribadi.

  1. Bermurah Hati : Jangan memberi apabila ada lebihan, tetapi belajarlah memberi dalam keadaan serba kekurangan. Pemberian kita tidak semestinya berbentuk wang ringgit. Tenaga, nasihat dan senyuman juga dikira sebagai pemberian. Bacaan lanjut : Ada formula untuk murah rezeki?
  2. Asingkan Akaun Bank : Rasanya tiada siapa yang hanya ada satu akaun bank. Asingkan setiap akaun mengikut ‘tema’ kegunaan akaun tersebut. Contohnya akaun gaji, akaun persaraan, akaun shopping dan akaun simpanan. Bacaan Lanjut : Kenapa kita perlu sekurang-kurangnya tiga akaun bank?
  3. Sediakan Bajet Bertulis : Semua orang ada bajet, tapi biasanya hanya mencongak di kepala. Rasa – rasa macam mampu, akhirnya tak cukup duit. Sentiasa tulis bajet kita. Bermula dari berapa ringgit boleh guna sehari sehingga ke bajet bulanan. Apabila sudah biasa, kita akan mampu menyediakan bajet untuk jangkamasa yang lebih lama. Patuhi bajet sendiri.
  4. Jangan Takut Apabila Bajet Lari : Perancangan dan perlaksanaan selalu berbeza. Jangan risau apabila bajet yang kita sediakan ‘lari’ sedikit. Sekurang-kurangnya kita tahu bagaimana ia lari, dimana yang terlebih, dan apa bajet yang perlu dipotong untuk menggantikannya.
  5. Gunakan Bajet Untuk Mencapai Sasaran : Teringin kereta baru? Downpayment untuk rumah? Sediakan bajet. Contohnya kita perlukan RM 1,000.00 dalam masa tiga bulan, bermakna kita perlu simpan RM 334 sebulan, bersamaan RM 12 ringgit sehari. Apabila ada perkiraan begitu barulah kita sedar sasaran kita tidak mustahil tercapai.
  6. Berapa Boleh Pinjam vs Berapa Boleh Simpan :Jangan ambil peduli berapa banyak bank boleh beri pinjaman kepada kita. Sentiasa utamakan berapa banyak boleh kita simpan di dalam bank. Pinjaman, terutamanya pinjaman peribadi, bukan menyelesaikan masalah. Setiap sen yang kita pinjam mengurangkan sen yang boleh kita simpan. Bacaan Lanjut: Memilih untuk membuat pinjaman peribadi?
  7. Beli apa yang mampu, apa yang perlu dan apa yang mahu : Mengikut susunan ayat itu. Kalau mampu, beli. Kalau mampu dan perlu, beli. Kalau mampu, perlu, dan mahu, beli. Ada masanya kita ditawarkan sesuatu yang murah, tetapi tidak mampu, tidak perlu dan tidak mau benda itu. Jangan beli.
  8. Catat Perbelanjaan Kita : Ketahui dari mana duit kita datang dan kemana ia pergi. Pernah dengar lawak ini?; “Sesungguhnya dari bank ia datang, kepada bank ia kembali”. Walaupun lawak, tapi itulah yang dilakukan oleh kebanyakan kita. Apa yang kita perolehi, sentiasa digunakan untuk membayar sesuatu kepada seseorang. Bacaan Lanjut: Pay yourself first.
  9. Sediakan Duit Untuk Berjoli: Anda mungkin tidak jumpa nasihat ini di kebanyakan blog kewangan. Pada pendapat peribadi saya, ini ialah nasihat yang penting. Tetapkan secara bulanan had dan bahagian dari pendapatan kita untuk digunakna ke arah yang kita suka. Patuhi had ini. Dengan adanya perutukan ini, kita tidak lagi boleh menggunakan sumber kewangan lain untuk bersuka ria.
  10. Hapuskan Hutang : Hutang membuatkan kita tidak dapat menikmati duit yang kita usahakan. Hapuskan semuanya. Ramai orang yang berkata mereka tidak mampu membayar hutang. Bank tidak akan memberi pinjaman kepada orang yang tidak mampu. Sebenarnya kita tidak tahu bagaimana untuk menghapuskan hutang, bukan tidak mampu. Bacaan Lanjut :Hapuskan hutang menggunakan Snowballing Effect.
  11. Bersabar Untuk Membeli, Bersabar Untuk Diri Sendiri : Elakkan membeli barangan ‘on the spot’ . Balik fikir. Kecualilah barangan yang urgent contohnya tayar yang pancit, nak balik fikir macam mana pulak kan? Untuk pembelian yang lain, apabila teringin cuba tunggu 30 hari sebelum melakukan pembelian.
  12. Dapatkan Kerjasama  Dari Pasangan : Apabila hidup berpasangan, penjimatan dari sebelah pihak tidak akan membawa sebarang perubahan. Pastikan pasangan tahu dan sedar tentang perancangan kewangan kita, walaupun bagi yang mengamalkan konsep duit masing-masing, tidur asing-asing. Penglibatan dan kerjasama pasangan akan menentukan kejayaan perancangan kewangan kita.
  13. Menabung Untuk Perbelanjaan Besar : Insurans, Cukai Jalan, Cukai Pendapatan, Anak mendaftar ke sekolah. Itulah contoh perbelanjaan besar yang perlu diwujudkan tabung. Contoh paling popular ialah apabila hendak memperbaharui cukai jalan. Kita akan terbeban sekiranya tiadan tabung road-tax. Sekiranya kita menyimpan sedikit setiap bulan, apabila masa untuk diperbaharui, bebanya tidaklah begitu terasa.
  14. Jangan Mudah Percaya Kepada Promosi : Kita biasa melihat potongan harga sehingga 70% bukan? Terutamanya dihujung tahun. Cuba perhatikan harga barangan yang sama di masa yang lain, semasa tiada promosi. Sekarang kita sudah tahu kenapa pasaraya tidak benarkan mengambil gambar di dalamnya.
  15. Bersedia Untuk Kecemasan : Elakkan membelanjakan lebihan duit kepada sesuatu yang hasilnya sementara. Contohnya pembelian barangan mewah atau percutian. Bagi dua kategori ini kita perlu menabung untuk menikmatinya. Jika ada duit lebih, simpan bagi kegunaan semasa kecemasan.
  16. Berbelanja Secara Tunai : Cash is King kata seserorang. Walaupun ia ayat yang menimbulkan perdebatan, ada kebenaran dalam kata-kata itu. Perbelanjaan tunai mengelakkan hutang. Berbelanja dengan tunai akan membuatkan kita lebih ‘sedar’ aliran duit keluar kita.
  17. Nilai Sasaran Menyimpan Dengan Betul : Menyimpan untuk menukar kereta kurang penting daripada menyimpan untuk menunaikan haji. Menyimpan untuk persaraan lebih penting berbanding menyimpan untuk melancong. Utamakan simpanan yang lebih penting. BACA : Memulakan tabung pendidikan anak dari kecil dengan simpanan bulanan minima.
  18. Melabur Dalam Diri Sendiri : Apapun bidang pelaburan yang anda pilih, sama ada saham, hartanah, emas, atau unit amanah, melaburlah dalam diri sendiri terlebih dahulu. Maksudnya ialah mendapatkan pengetahuan yang mendalam tentang bidang yang anda ingin pilih. Biarlah kita mengeluarkan sedikit ‘modal’ untuk belajar, berbanding mengalami kerugian yang besar.
  19. Jana Pendapatan Sampingan : Perkara ini sudah tidak asing, malah menjadi trend di kalangan rakyat Malaysia. Pemangkin utamanya ialah internet dan media sosial. Goreng pisangpun sudah boleh dijual di facebook dan instagram. Kita hanya perlu belajar dan mengambil peluang. BACA : Berniaga melalui instagram itu mudah?
  20. Bertindak Untuk Kaya Setiap Hari : Putuskan untuk menjadi kaya, hari-hari. Setiap pembelian, setiap idea, setiap tindakan kita; persoalkan, “Bagaimana ini akan membantu aku memperbaiki kedudukan kewangna aku” atau “Apa aku buat ni, membantu aku untuk kaya atau tidak?”.

20 Tips mudah tentang kewangan di atas amat bagus kalau dapat diamalkan keseluruhannya. Kalau tak mampu, sekadar satu pun sudah cukup. Contohnya, berbelanja secara tunai. Yang paling penting ialah bertindak untuk kaya setiap hari. Jangan mengharap kekayaan sekelip mata.

Pilihlah untuk menjadi kaya setiap hari, bukan bila tua nanti. Click To Tweet

Orang yang sudah berjaya berusaha kearah kejayaan mereka setiap hari, walaupun ada di antara hari tersebut mereka melakukan keputusan yang silap.

Bangun kembali.

Terus berusaha.

Dapatkan artikel ini dalam bentuk pdf untuk simpanan di iPad / tab / smartphone anda.

azwan

azwan

Azwan merupakan seorang blogger yang berminat dalam penulisan, pengaturcaraan ,dunia teknologi informasi, pengurusan kewangan dan motivasi.
azwan

Mereka yang membaca artikel ini turut membaca artikel berikut;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge