Macam Mana Nak Buat Apabila Syiling Terlampau Banyak?

tukar syiling dengan kedai runcit

Tips mudah mengurus duit syiling.

Apa nak buat dengan duit syiling? Hari – hari kita terima duit syiling, yang akhirnya bersepah di sana – sini dalam rumah. Dalam menguruskan duit syiling, perkara paling logik dan biasa dilakukan oleh seseorang ialah dengan memasukkannya ke dalam tabung. Macam macam jenis tabung ada, daripada balang kuih raya sehinggalah tabung berbentuk tong gas yang saiznya juga sama dengan tong gas.

Apabila tabung penuh, tabung itu kita bawa ke bank untuk syiling tersebut didepositkan. Sekarang ini pun dah ada mesin deposit syiling, serupa mesin ATM atau mesin CDM. Tapi bilangannya tak banyak. Senang atau tidak guna, saya tak tahu, kerana tiada pengalaman memasukkan duit syiling ke dalam mesin deposit ini.

Ada yang kata kena ikut jenis syiling, kalau 10 sen, masukkan semua 10 sen dahulu, asingkan pula 10 sen parlimen, 10 sen bunga raya, dan 10 sen terkini. Ada macam – macam maklumat kalau dicari di internet bagi emndapatkan tips untuk memudahkan mesin deposit syiling ini menerima longgokan syiling kita.

Saya belum pernah cuba.

Dimana hendak tukar duit syiling?

Secara amnya, yang biasa kita dengar ialah tukarkan duit syiling yang terkumpul itu di kedai runcit atau kedai serbaneka. Boleh jadi Kedai Pak Abu, 7-eleven atau 99speedmart. Boleh juga cuba nasib di kedai 1Malaysia. Kadang kala, tak perlu tunggu tabung penuh. Hujung bulan pun dah ada yang bertandang membawa hajat.

Tetapi dalam memilih kedai tu, biarlah mengandungi sedikit logik. Kedai runcit biasanya memang kerap mempunyai sen-sen di hujung harga barang-barangnya, jadi mungkin lebih mudah berjaya menukarkan syiling denngan mereka berbanding kedai cuci kereta yang harga perkhidmatannya genap.

Cerita memang senang, tapi buat belum tentu, kan?

Bagi yang ada pengalaman sendiri tukar syiling di kedai, pasti akan mengakui kenyataan ini. Tak semua kedai sanggup menukar atau menerima pertukaran itu. Berjaya atau tidak, bergantung 100% kepada persetujuan peniaga.

Jangan kata tukar syiling, kadang kala hendak membayar harga barang pun, kalau syiling terlampau banyak, peniaga agak keberatan. Membeli sepeket gula dan membayar harganya dengan semata – mata menggunakan syiling mungkin tiada masalah. Bayangkan pula kalau hendak mengisi minyak sebanyak 50 ringgit dengan syiling.

Yang menjaga kaunter itu manusia seperti kita juga, ada kesabaran, ada perasaan menyampah dan ada sifat kasihan. Kalau ikutkan hati mungkin dia akan tolak mentah-mentah syiling kita. Mana masa petugas kaunter itu hendak mengiranya sedangkan di belakang kita beratur pelanggan yang lain?

Atas sifat ikhsan mungkin dia minta kita ketepi sekejap, dan minta tolong pekerja lain kirakan terlebih dahulu sementara pelanggan lain dilayan.

Hanya imiginasi.

Had penggunaan duit syiling untuk pembayaran
Had penggunaan duit syiling untuk pembayaran – sumber BNM

Kenapa peniaga tidak mahu tukar duit syiling?

Kebarangkalian untuk berjaya menukar duit syiling dengan peniaga atau kedai biasanya dipengaruhi oleh beberapa faktor. Faktor utama ialah jumlah duit yang ingin ditukar. Jikalau jumlahnya sedikit, mungkin peniaga tidak keberatan, malah mengalu-alukannya. Sebagai contoh, menukar syiling sebanyak RM 10 biasanya tidak menjadi maslaah dan mudah diterima. Namun apabila jumlah yang kita bawa ialah RM 100, ramai peniaga yang akan keberatan.

Mereka mempunyai sebab tersendiri untuk tidak mahu menukar duit syiling itu. Jika mereka enggan, pada ketika itu kita menyedari, sekeping wang kertas 100 ringgit lebih bernilai dari 100 ringgit dapam bentuk seuncang duit syiling. Ada dua pihak terlibat dalam pertukaran ini; kita sebagai pemilik duit syiling dan peniaga sebagai pemilik duit kertas.

Kita sebagai pemilik duit syiling tidak mahu lagi kepada syiling itu atas sebab berikut;

  1. Duit syiling yang banyak, berat dan memerlukan ruang yang besar untuk dibawa ke mana-mana.
  2. Melakukan pembayaran untuk sesuatu yang harganya besar sukar dilakukan dengan duit syiling kerana juruwang perlu menagmbil masa mengiranya.

Peniaga pula mahukan duit syiling kita atas sebab beikut:

  1. Mereka kehabisan atau memerlukan wang kecil untuk memeluangkan baki transaksi pembelian kepada pelanggan.

Peniaga hanya ada satu sebab sahaja untuk bersetuju dengan kita. Jika pada masa tersebut mereka mempunyai duit kecil yang mencukupi, mungkin permintaan kita untuk menukar syiling akan ditolak mentah-mentah. Tambahan pula sekiranya yang menjaga kaunter pembayaran pada ketika itu hanyalah pekerja dan bukan pemilik kedai itu sendiri.

Setiap perniagaan mempunyai purata duit syiling yang diperlukan seharian. Bagi sebuah kedai runcit kecil mungkin RM 20 sehingga RM 30 sudah mencukupi. Memiliki syiling melebihi dari jumlah itu akan menyukarkan mereka untuk memuatkannya dalam mesin daftar tunai mereka.

Selain itu, tidak semua syiling mempunyai nilai yang sama di mata peniaga. Secara amnya, mereka lebih memerlukan duit syiling yang bernilai lebih kecil berbanding nilai yang besar. Contohnya, syiling 10 sen lebih dikehendaki berbanding syiling 50 sen. Wang syiling lima sen mempunyai permintaan tertinggi sekiranya harga barang yang dijual mempunyai penghujung lima sen pada harganya.

Dalam keadaan ini, syiling lima sen jarang diperoleh semasa pembayaran oleh pelanggan tapi amat kerap diberikan kepada pelanggan sebagai pemulangan baki. Permintaan kepada syiling lima sen menjadi tinggi.

Isu lima sen ini pernah panas satu masa dahulu. Amalan sesetengah peniaga memberikan gulu-gula bagi menggantikan duit lima sen yang sepatutnya dipulangkan sebagai baki, mendatangkan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna. Pengguna majoritinya menganggap amalan ini sebagai ‘pembelian paksa’ oleh peniaga.

Pengguna berpendapat peniaga bertanggung jawab menyediakan tukaran secukupnya. Pihak peniaga pula beranggapan, pengguna perlu membawa sendiri duit kecil secukupnya supaya mereka tidak perlu memulangkan baki. Masalah kedua-dua pihak ini timbul dari satu punca yang sama, kekurangan duit syiling pada mereka.

tukar syiling dengan kedai runcit
Tukar syiling dengan kedai runcit, langkah bijak?

Bagaimana ‘memujuk’ peniaga agar bersetuju menukarkan duit syiling kepada wang kertas?

Dari segi keberkesanan, bagi pihak peniaga, lebih mudah bagi mereka untuk mendapatkan bekalan syiling dari pihak bank. Peniaga yang mempunyai unjuran keperluan duit syiling yang konsisten boleh mendapatkan duit kecil ini daripada pihak bank secara berkala. Duit syiling yang diterima sudah diasingkan, dikira dan dipek. Peniaga boleh terus menggunakannya.

Kadang kala, peniaga tidak mahu tukar syiling dengan pelanggan kerana tidak mempunyai masa untuk mengira syiling tersebut. Tambahan pula sekiranya peniaga berseorangan, melanyan pelanggan lain lebih utama daripada melayan pertukaran syiling. Mungkin mereka yang tetap ingin menukarkan wang syiling mereka boleh meninggalkannya terlebih dahulu, dikira oleh peniaga kemudia, dan selang berapa ketika kembali untuk mendapatkan wang kertas.

Bungkus syiling dengan baik untuk mudah ditukar.

Sebagai usaha menraik minat peniaga untuk bersetuju menukarkan syiling kita kepada duit kertas, syiling kita bolehlah dibungkus dengan baik. Elakkan menawarkan syiling dalam keadaan seolah – olah baru memecahkan tabung. Sebungkus syiling dalam bungkusan plastik merah yang kelihatan berat amat tidak menarik.

Dengan melihat sahaja bungkusan itu, perasaan susah payah untuk mengira kesemua syiling di dalamnya sudah terasa. Peniaga berkata tidak. Kita kecewa.

Cuba gunakan plastik lutsinar yang keras yang biasanya digunakan untuk membungkus gula-gula, asam masin, atau jajan. Plastik ini sesuai untuk tujuan membungkus syiling. Kemudian cuba patuhi panduan ini:

  1. Setiap plastik hanya diisi dengan syiling yang sama. Contohnya satu plastik hanya mengandungi syiling 10 sen dan tiada syiling lain.
  2. Hadkan maksima setiap plastik dengan nilai RM 10. Kira jumlah 10 sen sambil memasukkannya ke dalam plastik sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM10, kemudian;
  3. Setelah cukup RM 10 kemaskan bungkusan dan gunakan dawai kokot untuk menutup plastik tersebut.

Lakukan bagi setiap syiling yang ada, contohnya, 20 sen, 50 sen dan 5 sen.

Seperti yang telah ditulis sebelum ini, ada kalanya peniaga menolak kerana jumlah syiling yang dibawa terlampau banyak. Sekiranya telah dibungkus dengan nilai RM 10 setiap bungkusan, kita boleh menawarkan kada r yang dikehendaki peniaga. Mungkin belia sanggup menukar dua bungkusan sahaja, bungkusan lain bolehlah dicuba di kedai lain.

Selain itu peniaga juga boleh memilih syiling yang diperlukan sama ada 10 sen, 5 sen, 20 sen atau 50 sen mengikut keperluan kedainya.

Walau secantik mana sekalipun duit -duit syiling itu dibungkus, bungkusan itu tetap akan dibuka dan dikira kembali oleh peniaga. Jangan kecil hati. Itu hak mereka yang dilakukan bagi memastikan tiada kesilapan atau penipuan.

Sekiranya setiap kali menukar syiling itu, bungkusannya kemas, bilangannya cukup, peniaga akan lebih mudah berurusan dengan kita. Lama kelamaan perasaan percaya itu akan turun dari mata ke hati. Peniaga kelak akan menerima tukaran kita tanpa perlu mengiranya.

Tidak mahu ambil kisah tentang duit syiling.

Keseluruhan kisah di atas boleh berlaku atas dua sebab yang berbeza sekali. Pertama, sekiranya kita memang seorang yang suka menabung, atau mengumpul syiling, tidak hairanlah sampai pada suatu masa kita akan memiliki syiling yang banyak. Lambakan syiling yang terjadi di atas sebab ini tidak mendatangkan masalah.

Teruskan menabung, apabila penuh atau perlu, masukkan ke dalam bank atau tukarkan duit syiling tersebut.

Lambakan syiling ini juga boleh berlaku atas sebab yang kedua. Sebab yang kedua ini tidak sihat kalau dipandang dari segi sikap dalam menguruskan duit. Sebab kedua lambakan ini berlaku ialah kerana sikap tidak menghargai syiling itu sendiri.

Bagi seseorang yang tahu menilai wang duit syiling 10 sen dan sekeping wang kertas 100 ringgit mempunyai nilai yang sama. Kedua-duanya perlu disimpan dengan selamat dan digunakan secara berhemat. Perkara yang membezakannya hanyalah kuasa membeli yang dimiliki oleh kedua-dua wang tersebut sahaja.

Kan senang kalau ada alat kira syiling seperti ini di Malaysia
Kan senang kalau ada alat kira syiling seperti ini di Malaysia

Prinsip menghargai duit syiling (dan duit secara amnya)

Sebagaimana kita menghargai sekeping duit seratus atau sekeping not 50, begitu jugalah kita perlu menghargai duit syiling. Bagi menghargai kesemua jenis duit secara sama beberapa prinsip ini boleh dijadikan panduan.

Semua duit mempunyai hak yang sama.

Pertama, setiap duit perlu dilindungi keselamatannya. Kebanyakan dari kita berkemungkinan besar tidak akan meninggalkan seping duit 100 ringgih dalam keadaan begitu sahaja di atas rak televisyen atau meja makan. Layanan yang sama harus diberikan kepada duit syiling, khaskan tempat yang kita kira selamat untuk meletakkan duit syiling. Simpan disitu sahaja dan bukan di tempat lain.

Jika syiling-syiling ini dibairkan bertaburan, sedikit demi sedikit kita akan kehilangan kuasa membeli. Syiling yang ditinggalkan tidak lagi dibawa bersama kita ketika keluar membeli belah. Akibatnya, kita terpaksa membayar menggunakna wang kertas dan kemudian menerima syiling sebagai baki.

Syiling ini dibawa balik ke rumah dan dibiarkan bertabur lagi. Kuasa membeli kita berkurang lagi. Kitaran yang dianggap remeh ini dapat mendatangkan kesan yang besar dalam pengurusan kewangan peribadi kita dalam jangkamasa yang panjang. Akhirnya, kita mempunyai RM 100 yang tidak dapat dibelanjakan atau dilaburkan kerana kesemuanya didalam bentuk syiling yang berterabur di serata rumah.

Semua duit mempunyai kuasa membeli.

Prinsip kedua ialah kuasa membeli kita terletak kepada jumlah duit yang kita miliki pada masa pembelian. Sekiranya kita ingin membeli sesuatu, pertamanya kita akan memeriksa duit ditangan.

Cukup atau tidak?

Jika tidak cukup, kemungkinan kita akan mencongak baki dalam akaun di bank dan memeriksa jika tempat kita akan melakukan pembayaran menerima kad debit.

Tetapi, untuk mencongak duit syiling di rumah adalah sesuatu yang tidak praktikal untuk pembelian kali ini.

Mungkin lain kali.

Oleh itu, membawa bersama duit syiling ketika membeli sesuatu sebenarnya meningkatkan margin kuasa membeli kita. Setengah orang berpendapat leceh dan berat untuk membawa syiling kemana sahaja. Pendapat ini benar, sekiranya yang kita bawa itu keseluruhan isi tabung ayam kita.

Sebenarnya kita hanya perlu membawa syiling berjumlah seringgit sahaja setiap hari. Tidak kisah kombinasi duit syiling yang kita bawa. Boleh jadi dua keping syiling 50 sen, boleh jadi lima keping syiling 20 sen. Apa jua kombinasi boleh dibawa asalkan jumlahnya seringgit.

Kemudian padankan dengan prinsip ketiga.

Prinsip ketiga ialah kita seharusnya menggunakan duit yang mempunyai kuasa membeli paling kecil terlebih dahulu sebelum menggunakan duit yang mempunyai kuasa membeli yang besar.

Sekiranya di dalam dompet kita mempunyai duit seringgit, gunakannya terlebih dahulu sebelum menggunakan duit lima ringgit atau 10 ringgit. Ramai yang bersetuju, apabila duit besar di’pecahkan’ sedar tidak sedar, ‘laju’ sahaja ia megalir keluar dari dompet atau beg tangan. Duit besar yang dikekalkan besar, lebih kekal lama bersama kita.

Ini kerana kita menjadi lebih ‘kedekut’ untuk membelanjakan not yang besar berbanding not yang kecil. Jika tiba – tiba timbul keinginan untuk membeli air contohnya, jika di dalam tanga kita ada not kecil, kemungkinan kita akan membelinya tanpa berfikir panjang. Jika hanya ada not yang besar, perasaan ‘nantilah’ akan mudah timbul untuk menyekat aliran keluar duit itu dari tangan kita.

Gunakan syiling yang dibawa tadi untuk membayar dengan tepat atau sen paling hampir bagi setiap transaksi pembelian.

Contohnya apabila membayar sesuatu yang berharga RM 5.40 hulurkan duit RM 10 bersama syiling 50 sen. Setiap kali ada peluang untuk menggunakan syiling, gunakannya. Semakin kerap kita menggunakan syiling, semakin terlindung not-not kertas yang lebih besar.

Amalan ini akan mengelakkan syiling daripada berlambak di rumah dan tidak digunakan.

Tidak mahu ambil tahu langsung tentang duit syiling.

Tiada salahnya jika seseorang membuat keputusan untuk langsung tidak memiliki atau mengambil tahu tentang duit syiling. Jika mampu, silakan.

Hampir kesemua kaunter bayaran di mana jua mempunyai peti tabung derma di sebelahnya. Di pasaraya seperti AEON sehinggalah kedai runcit di kampung, pasti ada tabung. Yayasan kanser, tabung kebajikan, tabung pembinaan pusat komuniti atau sekolah dan pelbagai jenis lagi.

Setiap kali menerima baki syiling dari setiap pembelian, masukkan sahaja ke tabung -tabung ini.

Bercerita tentang tabung sebegini, teringat kisah yang diceritakan seorang kenalan yang pernah merantau ke negara matahari terbit satu masa yang agak lama dahulu. Khabarnya sesetengah pasaraya di sana menyediakan ‘Tabung Satu Yen”.

Mana-mana pelanggan yang menerima baki duit satu yen boleh memilih dengan rela hati untuk tidak membawa pulang satu yen tersebut, sebaliknya meletakkan di dalam “Tabung Satu Yen” itu. Mana-mana pelanggan yang kekurangan satu atau dua yen ketika ingin membuat pembayaran, bolehlah mengambil dari tabung ini. Di atas tabung itu tertera satu ayat dalam Bahasa Jepun yang saya tidak ingat bunyi atau terjemahannya. Tetapi maksudnya lebih kurang “take it if you need it”.

Satu budaya give and take yang molek disebarluaskan. Lihat kembali susunan ayat itu, give sebelum take.

Jika setiap baki syiling yang diterima disedekahkan, kita tidak lagi perlu ambil tahu atau berfikir bagaimana hendak menuruskan duit syiling lagi.

Saya ada 10 sen.

Sedekah terbaik adalah dari harta yang kita sayangi dan hargai, bukan dari sesuatu yang kita tidak mahu atau tidak perlu.

 

 

azwan

azwan

Azwan merupakan seorang blogger yang berminat dalam penulisan, pengaturcaraan ,dunia teknologi informasi, pengurusan kewangan dan motivasi.
azwan

Mereka yang membaca artikel ini turut membaca artikel berikut;

5 thoughts on “Macam Mana Nak Buat Apabila Syiling Terlampau Banyak?

  1. semasa saya bekerja di restoran dulu..

    duit syiling merupakan cabaran utama.

    1.selalu shortage syiling sehingga terpaksa meminta dengan pelanggan
    2.lambakan syiling sehingga sukar untuk mengira duit jualan seharian
    3.kerja bertambah kerana proses mengira syiling agak lama

    itulah cabaran saya ketika bekerja di restoran dulu.

  2. Duit syiling banyak banyak dalam dompet boleh berlubang dompet tu sebab berat

    Lebih baik masuk tabung

    Dah banyak nanti boleh masuk bank

    Atau pun boleh saja kita ajar anak anak tabiat menabung

    Buatkan tabung untuk mereka dan ajar mereka menabung setiap hari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge