Panduan Buka Akaun SSPN-i online untuk memudahkan anak mendapat pinjaman PTPTN.

Panduan dan cara untuk membuka Akaun SSPN-i secara online.Tiga perkara yang kita perlu tahu tentang akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) oleh PTPTN;

  1. SSPN-i Plus ialah simpanan minima secara bulanan dengan jumlah yuran pengajian sebagai sasaran.
  2. Simpanan diuruskan oleh PTPTN untuk dilaburkan dan penyimpan atau pendeposit diberikan keuntungan / dividen bagi pelaburan tersebut.
  3. Sekiranya berlaku kamalangan yang menyebabkan penyimpan tidak lagi mampu membayar secara bulanan, pampasan akan diberikan bagi membantu sasaran dicapai.

PTPTN dan SSPN-i Plus.

Semua orang tahu apa itu PTPTN. Kalau masuk ke Universiti atau Kolej, memang wajib tahu. Bagi yang tidak berpeluang masuk ke sana pun ramai yang tahu, lebih-lebih lagi ibu bapa yang menanggung anak di pusat pengajian tinggi. Apa nama penuh PTPTN itu ye? Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN). Itulah nama penuhnya.

Bagaimana pula dengan SSPN-i Plus? Jangan terkejut kalau ramai yang kata SSPN-i Plus itu PTPTN lah. Skim Simpanan Pendidikan Nasional itulah nama penuh SSPN-i Plus. Huruf i itu bermaksud islamik, sama seperti produk islamik bank yang sering menggunakan huruf i dihujung produk mereka bagi membezakanya dengan produk konvensional.

Bagaimana pula dengan perkataan Plus?.

Kita cerita kemudian.

SSPN; bayar dahulu baru pinjam?

Ini ialah kenyataan yang biasa kita dengar apabila berbual tentang PTPTN. Salah satu syarat untuk memohon pinjaman PTPTN ialah pemohon hendaklah memiliki akaun SSPN-i. PTPTN menggalakkan simpanan ini untuk mengurangkan beban pembayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.

Isu bayaran balik PTPTN buka isu kecil. Isu ini dipolitikkan, dibahaskan, dan selalu dibangkitkan oleh rakyat. Disenarai hitam diusia muda kerana tidak membuat pembayaran balik PTPTN memang menyeksakan. Kita tidak boleh keluar negara, tidak boleh membuat pinjaman lain dan banyak lagi masalah dari segi kewangan.

Adakah PTPTN kejam? Mungkin.

Tetapi PTPTN juga menyediakan penyelesaian yang relevan sebenarnya,iaitu pembukaan akaun SSPN-i PLus. Jika dengan membuka akaun SSPN-i Plus ini satu penyelesaian, kenapa masalah bayaran balik hutang PTPTN masih belum selesai?

Jawapannya mudah, kerana satu kesilapan yang sering berlaku semasa pembukaan akaun ini oleh pelajar atau penjaganya. Dengan kata lain, untuk mengelakkan anak-anak kita dibebani hutang pinjaman pelajaran, kita boleh berusaha menabung untuk anak – anak melanjutkan pelajaran.

Apakah satu kesilapan yang selalu berlaku semasa pembukaan akaun SSPN-i Plus ini?

Inilah kesilapan yang saya maksudkan.

KESILAPAN: Peminjam atau penjaga membuka akaun apabila hendak memohon pinjaman dengan jumlah minima yang ditetapkan sekadar untuk membolehkan pinjaman diproses.

Sekarang kita ingin tahu, Akaun SSPN-iPlus ini apa sebenarnya?

Secara mudahnya ada tiga elemen penting yang perlu kita fahami;

  1. SSPN-i Plus ialah simpanan minima secara bulanan dengan jumlah yuran pengajian sebagai sasaran.
  2. Simpanan diuruskan oleh PTPTN untuk dilaburkan dan penyimpan atau pendeposit diberikan keuntungan / dividen bagi pelaburan tersebut.
  3. Sekiranya berlaku kamalangan yang menyebabkan penyimpan tidak lagi mampu membayar secara bulanan, pampasan akan diberikan bagi membantu sasaran dicapai.
Tahukah anda akaun SSPN-i Plus boleh dibuka secara online?
Tahukah anda akaun SSPN-i Plus boleh dibuka secara online?

Kenapa perlu menabung untuk anak masuk ke universiti?

Kalau zaman dahulu, anak masuk ke universiti memang menjadi kebanggaan ibu bapa. Jika berasal dari pendalaman atau kampung kecil, adalah menjadi lumrah saudara mara malahan jiran tetangga menyumbang dalam bentuk wang ringgit bagi membantu.

Kenapa?

Kerana jumlah yang berjaya masuk ke pusat pengajian tinggi adalah sedikit. Pelajar yang berpeluang keluar negara pula amat jarang.

Dengan pertambahan bilangan kolej dan universiti, dibantu pula oleh sistem pendidikan negara yang bertambah baik, bilangan pelajar cemerlang di Malaysia sudah meningkat. Saingan untuk biasiswa amat sengit. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, soalan yang biasa di dengar ialah “Berapa A”, bukan lulus atau tidak seperti pada satu ketika dahulu.

Zaman sudah lama berubah.

Apabila ramai yang cemerlang, tempat juga menjadi terhad. Asas kepada teori “supply and demand” apabila permintaan melebihi bekalan, harga akan meningkat. Dalam kes ini permintaan ialah jumlah pelajar cemerlang yang ramai, bekalan ialah tempat terhad di universiti dan kenaikan harga ialah kos yang tinggi untuk menamatkan pengajian.

Penyelesaian mudah ialah dengan membuat pinjaman PTPTN. Impaknya pula ialah beban hutang yang ditanggung setelah tamat pengajian. Walaupun keputusan cemerlang, mendapat pekerja yang bagus dan bergaji besar, kelalaian membayar balik pinjaman tetap membuatkan peminjam disenari hitam oleh PTPTN.

Penyelesaian yang susah?

Berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian,

Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Menyimpan sebelum masa duit itu diperlukan.

Kenapa perlu menyimpan lebih awal?

Jawapannya ialah compounding effect. Maksudnya, simpanan lebih awal akan menyebabkan dividen terkumpul menjadikan jumlah akhir lebih banyak berbanding simpanan yang lewat.

Lihat ilustrasi di bawah.

 

sumber: ptptn.gov.my

Encik A bermula lebih awal dengan meyimpan sejak tahun pertama kelahiran anaknya dan menyimpan selama 10 tahun Encik A tidak lagi menyimpan setelah anaknya di darjah 4 iaitu 10 tahun kemudian . Encik B bermula ketika anaknya berada di darjah 5 dan berakhir ketika anaknya mencecah usia 20 tahun, iaitu usia untuk masuk ke universiti selepas STPM atau matrikulasi.

Perbezaan simpanan mereka ialah RM 15,688

Bagaimana pula kalau Encik A terus menyimpan sehingga anaknya mencecah usia 20 tahun?

Bagaimana pula nasib Encik B jika simpanannya tidak mencukupi? Anaknya perlu meminjam PTPTN.

Bagaimana pula nasib Encik C yang langsung tidak menyimpan dan hanya membuka akaun SSPN-i ketika anaknya hendak meminjam PTPTN?

Perlukah menyimpan sebanyak itu?

Kita lihat anggaran kos pengajian di Malaysia.

UNIVERSITI AWAM:

  • Bidang Perubatan : RM 12,710.00
  • Bidang Kejuruteraan : RM 8,850.00
  • Bidang Undang-Undang : RM 7,740.00
  • Bidang Perniagaan : RM 7,560.00
  • Bidang Teknologi Maklumat : RM 9,040.00

UNIVERSITI SWASTA :

  • Bidang Perubatan : RM 255,400.00
  • Bidang Kejuruteraan : RM 66,000.00
  • Bidang Undang-Undang : RM 62,040.00
  • Bidang Perniagaan : RM 43,560.00
  • Bidang Teknologi Maklumat : RM 49,610.00

*Kos pengajian ini ialah anggaran yang dibuat pada tahun 2014.

Kita lihat pula bagaimana jumlah pinjaman diluluskan berdasarkan pendapatan penjaga.

  1. Pinjaman Penuh : Pelajar atau penjaga merupakan penerima BR1M.
  2. Pinjaman 75% : Pendapatan penjaga tidak melebihi RM 8,000 sebulan DAN pelajar/penjaga bukan penerima BR1M.
  3. Pinjaman Separuh : Pendapatan penjaga tidak melebihi RM 8,000 sebulan DAN pelajar/penjaga bukan penerima BR1M.

PERINGATAN: Maksud penuh di sini ialah had maksimum yang dibenarkan oleh PTPTN. Biasanya sama dengan jumlah yuran pengajian sahaja, tidak termasuk penginapan, makan dan pengangkutan.

Bilakah masa yang ideal untuk saya membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus)?

  • Sebaiknya ialah ketika anak berusia setahun; Ketika ini saya baru lepas berbelanja besar untuk menyambut kelahiran anak, jadi saya tidak mampu untuk menyimpan.
  • Ataupun ketika anak mula bersekolah: Ketika ini saya perlu guna banyak wang untuk pendaftaran dan belanja membeli kelengkapan sekolah.
  • Ataupun ketika anak masuk ke sekolah menengah: Ketika ini rupa-rupanya belanja persekolahan  menjadi lebih besar.
  • Ataupun ketika anak masuk ke tingkatan 6 atau matrikulasi: Saya tidak mampu, kerana kos STPM dan Matrikulasi lebih tinggi.
  • Ataupun ketika anak mendapat tempat ke universiti dan ingin memohon PTPTN: Nanti dahulu. Bukankah itu kesilapan yang mula-mula kita katakan tadi?

Ya! Bertangguh akan sentiasa menyebabkan kita mengulangi kesilapan yang sama.

SOALAN: Jadi, bilakah masa yang paling sesuai untuk membuka akaun SSPN-i Plus ini?

JAWAPAN: Ketika dapat gaji, buka secara online.

Tidak semua orang mampu menyimpan RM 30.00 sebulan di SSPN-i kerana keperluan lain yang perlu dipenuhi dari segi kewangan.

Dengan RM 30.00 sebulan, kita tidak akan dapat apa yang diperolehi oleh Encik A, kerana Encik A menyimpan sebanyak RM 200.00 sebulan.

Dengan RM 30.00 sebulan selama 10 tahun bermula dari usia setahun, kita akan mengumpul RM 8,336.60 ketika anak masuk ke Universiti.

Di universiti awam, kita perlu:

  • Bidang Perubatan : RM 12,710.00 – RM 8,336.60 = RM 4,373.40 (perlu tambah)
  • Bidang Kejuruteraan : RM 8,850.00  – RM 8,336.60 = RM 513.40 (perlu tambah)
  • Bidang Undang-Undang : RM 7,740.00 – RM 8,336.60 =  RM 596.60 (lebihan)
  • Bidang Perniagaan : RM 7,560.00 – RM 8,336.60 = RM 776.60 (lebihan)
  • Bidang Teknologi Maklumat : RM 9,040.00 – RM 8,336.60 = RM 703.40 (perlu tambah)

Saya boleh simpan di tempat yang lain dengan dividen yang lebih tinggi.

Betul. Terdapat bank atau intitusi kewangan lain yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi. Jika kita menyimpan di sana, sasaran kita lebih cepat tercapai. Jumlah terkumpul akan menjadi lebih besar. Jadi, itu lebih menguntungkan.

Dengan satu SYARAT: Kita mampu menyimpan dengan konsisten setiap bulan sehingga sepuluh tahun.

Bagaimana sekiranya sesuatu yang tidak diigini berlaku dalam tempoh itu dan kita tidak lagi mampu menyimpan secara bulanan?

Itu ialah mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa.

Mulai 1 Januari 2012, para pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan bagi membiayai pengajian mereka di Politeknik, IPTA atau IPTS adalah DIWAJIBKAN mempunyai akaun SSPN-i dengan simpanan minima sepertimana yang ditetapkan oleh PTPTN.

12 kelebihan membuka akaun dan menyimpan di SSPN-i Plus?

 

sumber: PTPTN
  1. Pelaburan patuh syariah dan dipantau.
  2. Pelepasan cukai taksiran sehingga RM 12,000.00
  3. Simpanan bulanan serendah RM 30.00 sebulan.
  4. Dividen yang kompetetif dengan bank lain.
  5. Tidak perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
  6. Manfaat takaful bagi kematian dan hilang keupayaan kekal (kemalangan) sehingga RM 1 juta.
  7. Khairat kematian bagi pendeposit, pasangan dan maksimum tiga orang anak.
  8. Manfaat Takaful bagi 36 jenis penyakit kritikal.
  9. Elaun kemasukan Hospital.
  10. Perlindungan 24 jam seluruh dunia.
  11. Layak memohon pinjaman PTPTN.
  12. Deposit dijamin kerajaan.

KESILAPAN: Peminjam atau penjaga membuka akaun apabila hendak memohon pinjaman dengan jumlah minima yang ditetapkan sekadar untuk membolehkan pinjaman diproses.

Ada 12 kelebihan, tetapi kita hanya memilih untuk membuka akaun kerana SATU sebab sahaja. Merugikan.

Bagaimana membuka akaun SSPN-i Plus?

Terdapat TIGA kategori akaun yang boleh dibuka:

  1. ANAK BERUMUR 1 HARI – 29 TAHUN: Akaun dibuka oleh ibu bapa/ penjaga yang sah/ warganegara Malaysia yang lain untuk penerima manfaat yang berumur 1 hari sehingga mencapai umur 29 tahun.
  2. ANAK BERUMUR 18 TAHUN – 29 TAHUN:Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun sehingga mencapai 29 tahun mempunyai pilihan samada untuk membuka akaun individu atau menjadi penerima manfaat dimana akaun dibuka oleh ibu bapa/ penjaga yang sah/ warganegara Malaysia yang lain.
  3. BERUMUR 29 TAHUN DAN KE ATAS. Warganegara Malaysia yang berumur 29 tahun ke atas, perlu membuka akaun individu.


Pembukaan akaun SSPN-i Plus boleh dilakukan di kaunter berikut:

  1. PTPTN
  2. Maybank
  3. Bank Islam
  4. Agrobank
  5. Bank Rakyat
  6. RHB Bank.

TERKINI: Pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) boleh dilakukan secara atas talian (ONLINE ) dari rumah.

Tahukah anda akaun SSPN-i Plus boleh dibuka secara online?
Tahukah anda akaun SSPN-i Plus boleh dibuka secara online?

Cara-cara membuka akaun SSPN-i Plus secara atas talian (online).

Cara membuka akaun SSPN-i PTPTN secara online
Skrin yang mudah difahami dan mesra pengguna

Hanya ada 4 langkah sahaja yang perlu kita lakukan untuk membuka akaun secara atas talian(online).

  1. Skrin pertama memerlukan kita memasukkan butiran anak (penerima manfaat) dan sedikit butiran peribadi pembuka akaun.
  2. Skrin kedua memerlukan kita memilih pakej simpanan (jenis-jenis pakej akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ini).
  3. Skrin ketiga memerlukan kita memasukkan butiran peribadi diri sendiri.
  4. Skrin keempat dan terakhir ialah skrin untuk kita membuat pembayaran.

Apakah Pakej-Pakej Yang ditawarkan oleh PTPTN bagi akaun SSPN-i Plus?

Nota:

  1. *Anggaran purata dividen SSPN-i ialah 4.25% setahun.
  2. **KKM : Keilatan Kekal & Menyeluruh
  3. *** Khairat kematian pendeposit.
Pakej Intan SSPN-i Plus buka akaun online.
RM 30 Sebulan.

PAKEJ INTAN (RM 30.00 SEBULAN)

  • Sasaran simpanan ialah RM 7,647.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 40,000.00.
  • Sesuai jika menyasarkan universiti awam sebagai pilihan.
  • Perlu tambahan dengan membuat pinjaman PTPTN atau sumber lain.

PAKEJ DELIMA (RM 50.00 SEBULAN)

  • Sasaran simpanan ialah RM 15,293.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 40,000.00.
  • Boleh menampung keseluruhan yuran pengajian di Universiti awam.
  • Perlu mencari sumber lian untuk kos sara hidup ketika belajar.

PAKEJ TOPAZ SSPN-i PLUS

PAKEJ TOPAZ (RM 100.00 SEBULAN)

  • Sasaran simpanan ialah RM 34,410.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 40,000.00.
  • Sesuai untuk menampung kos pengajian dan sara hidup di universiti awam.

PAKEJ ZAMRUD SSPN-i Plus

PAKEJ ZAMRUD (RM 200.00 SEBULAN)

  • Sasaran simpanan ialah RM 68,821.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 80,000.00.
  • Boleh menampung yuran pengajian di universiti swasta.
  • Perlu mencari sumber lain bagi menampung kos sara hidup.

PAKEJ NILAM SSPN-i Plus

PAKEJ NILAM (RM 300.00 SEBULAN)

  • Sasaran simpanan ialah RM 103,231.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 120,000.00.
  • Mampu menampung kos pengajian dan kos sara hidup bagi universiti swasta.

PAKEJ BERLIAN SSPN-I Plus

PAKEJ BERLIAN (RM 500.00 SEBULAN)

  • Sasaran simpanan ialah RM 76,467.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 1,000,000.00.
  • Mampu menampung kos pengajian dan kos sara hidup bagi universiti swasta.
  • Mempunyai perlindungan insurans yang jauh lebih besar berbanding pakej lain.

Sudah putuskan pakej mana yang sesuai? Sudah bersedia menabung untuk anak? Buka akaun SSPN-i Plus secara online hari ini.

Rahsia murah rezeki
Rahsia murah rezeki

 

azwan

azwan

Azwan merupakan seorang blogger yang berminat dalam penulisan, pengaturcaraan ,dunia teknologi informasi, pengurusan kewangan dan motivasi.
azwan

Mereka yang membaca artikel ini turut membaca artikel berikut;

8 thoughts on “Panduan Buka Akaun SSPN-i online untuk memudahkan anak mendapat pinjaman PTPTN.

  1. panjang lebar dengan lebih details kenapa perlu buka sspn-i. semoga memberi kesedaran kepada orang ramai yang mempunyai anak untuk buka akaun demi pelajar masa akan datang

  2. menyimpan dari awal untuk tujuan pendidikan anak2 mmg bagus. Sekurang-kurangnya tidak terlalu membebankan bila mereka dewasa nanti

    1. Kita semua pernah menjadi anak dan pernah melihat sendiri susah payah yang ibu ayah kita lalui. Saya yakin ramai ibu bapa mahu anak mereka dapat apa yang lebih baik daripada mereka dapat semasa kecil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge